Mengenai PPAP

lot10sideview

LATAR BELAKANG PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM PAHANG.

Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) telah ditubuhkan di bawah Enakmen Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang 1973 dan diwartakan di dalam warta kerajaan No. 11 tahun 1973 pada 4 Oktober 1973.

Pada tahun 1972, Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji penggubalan Enakmen Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang. Jawatankuasa ini kemudiannya dikenali sebagai Jawatankuasa Khutub Khanah Umum Kuantan.

Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang telah memulakan operasinya untuk masyarakat di bangunan Rumah Rehat lama di Jalan Masjid, Kuantan pada tahun 1976. Pada tahun 1985, berpindah ke Bangunan lama Dewan Undangan Negeri di Jalan Gambut dan telah dirasmikan pada 28 Oktober 1987 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al- Mu'adzam Shah.

Sejak itu, perkhidmatan perpustakaan semakin berkembang ke semua 11 Daerah di Negeri Pahang dengan penubuhan Perpustakaan Daerah, Cawangan, Perpustakaan Bergerak (Pinjaman kelompok) dan Perpustakaan Desa. Sehingga kini, PPAP mempunyai 1 buah Perpustakaan Negeri, 10 buah Perpustakaan Daerah, 2 buah Perpustakaan Cawangan, 29 buah Perpustakaan Desa Negeri, 32 buah Perpustakaan Desa PNM, 1 Unit Bas bergerak Multimedia e-Pustaka dan 7 unit Perpustakaan Bergerak yang kini menjalankan perkhidmatan pinjaman kelompok di luar bandar di seluruh Negeri Pahang.

 

Bangunan Perpustakaan Awam Pahang kini telah berpindah ke bangunan baharu di Lot 10, Jalan Kemunting, Kuantan. Bangunan berkeluasan 12,000 meter persegi ini merupakan mercu tanda ilmu Negeri Pahang yang tersergam megah di hadapan Padang MPK 4, di pintu masuk ke Bandar Kuantan, menjadi tarikan perhatian setiap warga yang memandangnya. Berada di lokasi baharu ini, amat hampir dengan kawasan tumpuan awam iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan, sekolah rendah dan menengah, ibu pejabat Majlis Perbandaran Kuantan dan kawasan residensi Seri Kemunting. 

 

Selain itu, kedudukan berhadapan jalan utama memudahkan warga yang menggunakan pengangkutan awam untuk datang ke perpustakaan. Selain itu, 152 petak parkir kereta, 5 petak parkir bas, 36 petak parkir motorsikal dan 2 petak parkir Orang Kelainan Upaya  juga disediakan untuk kemudahan pengguna. 

 

Perpustakaan kini memberikan perkhidmatan sejajar dengan perkembangan teknologi semasa, meliputi semua keperluan pembacaan, pembelajaran, rekreasi serta ICT. Perpustakaan akan terus komited memberikan perkhidmatan keilmuan untuk keperluan masyarakat.