PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM PAHANG

World #QuranHour 2025 Meriahkan Ramadan Dengan Penghayatan Al-Quran

KUANTAN, 25 Mac 2025 – Program World #QuranHour 2025 berlangsung dengan penuh keberkatan hari ini, membawa umat Islam lebih dekat dengan Al-Quran dalam bulan yang mulia ini. Majlis dimulakan dengan slot Kuliyah Dhuha yang disampaikan oleh Ustazah Norhayati binti Ibrahim. Sesi ini memberi pencerahan kepada para peserta mengenai kepentingan memahami dan menghayati Al-Quran dalam kehidupan seharian. Surah pilihan bagi tahun ini adalah Surah Al-Saff (Surah ke-61) yang merangkumi ayat 1 hingga 14. Sesi tadabbur bagi surah ini dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Luqman bin Ahmad, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang. Dalam sesi ini, peserta dibimbing untuk memahami mesej dan pengajaran daripada surah tersebut, khususnya dalam konteks kehidupan beragama dan bermasyarakat. Bacaan surah Al-Saff pula disampaikan oleh qari jemputan, Al-Fadhil Ustaz Shaifuddin bin Ngah, Imam Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuala Kuantan 1. Alunan bacaan beliau yang merdu dan penuh penghayatan memberikan ketenangan kepada hadirin serta menambahkan lagi keberkatan dalam majlis ini. 

Program World #QuranHour 2025 ini bertujuan untuk menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran dan menggalakkan amalan membaca serta memahami isi kandungan kitab suci ini. Ia juga menjadi platform untuk masyarakat memperkukuh hubungan dengan Al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan seharian. Dengan sambutan yang menggalakkan dari pelbagai lapisan masyarakat, World #QuranHour 2025 membuktikan bahawa kecintaan terhadap Al-Quran terus mekar dan menjadi sumber inspirasi bagi kehidupan yang lebih baik berlandaskan nilai-nilai Islam. Semoga program ini terus menjadi tradisi tahunan yang berimpak besar dalam membentuk generasi yang celik dan cintakan Al-Quran.

Klik di sini untuk lebih gambar.

w
w1
w2
w4
w5