PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM PAHANG

Jelajah Biodiversiti Pahang 2026 Bermula di Pekan

PEKAN, 14 April 2026 – Program Jelajah Biodiversiti Pahang 2026 telah memulakan siri jelajahnya dengan majlis perasmian yang berlangsung di Perpustakaan Awam Daerah Pekan, sekali gus menandakan permulaan penglibatan komuniti di seluruh Negeri Pahang dalam usaha memperkasa kesedaran terhadap biodiversiti.

Program ini dianjurkan oleh Perpustakaan UiTM Cawangan Pahang dengan sokongan rakan strategik utama iaitu Majlis Biodiversiti Pahang dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP), di samping penglibatan pelbagai rakan strategik lain yang turut menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan program ini. Inisiatif ini dilaksanakan sebagai program peringkat negeri yang melibatkan penyertaan masyarakat di kesemua 11 daerah di Pahang melalui jaringan perpustakaan awam dan institusi pendidikan.

Program ini berlangsung sepanjang tempoh 14 April hingga 14 Mei 2026, dan membuka peluang kepada peserta untuk menyertai aktiviti penerokaan biodiversiti secara aktif di daerah masing-masing. Selain itu, peserta juga berpeluang untuk memenangi wang hadiah utama peringkat negeri bagi kategori Most Species, iaitu RM800 bagi tempat pertama dan RM500 bagi tempat kedua, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Majlis perasmian di Daerah Pekan telah disertai oleh peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, komuniti setempat dan wakil agensi. Sepanjang program, peserta telah mengikuti pelbagai pengisian termasuk taklimat, sesi pendedahan kepada konsep Sains Masyarakat (Citizen Science) serta aktiviti lapangan yang memberi pengalaman langsung dalam penerokaan biodiversiti.

Melalui pendekatan berasaskan STEM dan teknologi digital, peserta turut diperkenalkan kepada penggunaan aplikasi seperti iNaturalist bagi merekod pemerhatian biodiversiti secara sistematik. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman terhadap kepelbagaian spesies tempatan, malah membuka peluang kepada masyarakat untuk menyumbang kepada data saintifik yang boleh dimanfaatkan dalam penyelidikan dan pemeliharaan alam sekitar.

Program ini akan diteruskan ke daerah-daerah lain di seluruh Negeri Pahang mengikut jadual yang telah dirancang dengan pelbagai aktiviti menarik yang memberi peluang kepada komuniti setempat untuk turut serta dalam usaha penerokaan dan dokumentasi biodiversiti.

Pelaksanaan program ini juga bertepatan dengan Bulan Sains Masyarakat (Citizen Science Month) serta menyokong penglibatan dalam inisiatif global City Nature Challenge 2026, sekali gus menghubungkan usaha tempatan dengan platform antarabangsa dalam pemetaan biodiversiti.

Program Jelajah Biodiversiti Pahang 2026 diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembudayaan sains dalam kalangan masyarakat serta memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan biodiversiti demi kelestarian alam untuk generasi akan datang.

Sumber Berita: Perpustakaan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Pahang

b4
b0555d90-bbc5-4b46-806b-dffc09e20ee0