KUANTAN, 13 November 2026 –Program Night @de Library bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Mukut berlangsung dengan penuh meriah menerusi pelbagai aktiviti menarik yang memberikan pengalaman baharu dan bermakna kepada para peserta sepanjang dua hari program berlangsung.
Pada hari pertama, program dimulakan dengan aktiviti Rumahku Syurgaku, iaitu sesi pemasangan khemah oleh para peserta. Lebih istimewa, khemah-khemah yang digunakan telah dibekalkan dengan bantuan daripada Sekolah Sukan Malaysia Pahang. Terima kasih diucapkan kepada Coach Safwan atas kesudian meluangkan masa membimbing murid-murid mengenai teknik dan kaedah pemasangan khemah dengan betul.
Menariknya, khemah-khemah peserta dipasang di dalam bangunan perpustakaan bagi memberikan pengalaman unik bermalam di perpustakaan. Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan perpustakaan sebagai tempat membaca, malah sebagai ruang pembelajaran, penerokaan dan aktiviti santai yang mampu mencipta kenangan indah bersama.
Pengisian hari pertama diteruskan dengan aktiviti Pecah Ruyung, iaitu sesi suai kenal atau ice breaking yang bertujuan mengeratkan hubungan antara murid-murid dan para fasilitator, sekali gus mewujudkan suasana yang lebih mesra dan ceria sepanjang program.
Memasuki hari kedua, para peserta meneruskan pengembaraan ilmu menerusi aktiviti lawatan sambil belajar ke beberapa lokasi menarik di sekitar Pahang, antaranya Petrosains Playsmart, Museum of Contemporary Art (MOCA), Menara Kuantan 188 dan Muzium Sungai Lembing. Lawatan ini memberikan peluang kepada para peserta untuk meneroka pelbagai aspek ilmu, seni, sejarah dan warisan, di samping menambah pengetahuan serta membuka perspektif baharu.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Puan Hana Diyanah dan Cik Aliyah di MOCA atas kesudian menyantuni serta menerima kunjungan rombongan. Penghargaan turut diberikan kepada Puan Jun di Muzium Sungai Lembing, Encik Mahendran dan Encik Aziz atas bantuan serta kerjasama sepanjang lawatan di Menara Kuantan 188.
Tidak dilupakan, ucapan terima kasih kepada Encik Khir atas bantuan menguruskan keperluan peserta menikmati jamuan makan tengah hari di Texas Chicken Kuantan.
Program hari kedua turut mendapat sokongan istimewa daripada Medal Lion Creative yang telah menyumbang kepada sebahagian pengisian program. Lebih bermakna, pihak Medal Lion Creative turut menaja pembelian barangan keperluan pakaian sekolah untuk anak-anak SK Mukut menerusi sesi School Prep @ Mydin. Terima kasih juga diucapkan kepada Mydin Kuantan atas pemberian diskaun istimewa bagi pembelian tersebut. Inisiatif ini pastinya memberikan kegembiraan serta manfaat kepada para peserta dalam membuat persediaan menghadapi sesi persekolahan.
Secara keseluruhannya, program Night @de Library bersama SK Mukut bukan sekadar memberi peluang kepada murid-murid merasai pengalaman bermalam di perpustakaan, malah turut menyediakan ruang untuk mereka meneroka ilmu, mengenali persekitaran, membina keyakinan diri dan mengeratkan hubungan sesama rakan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakan strategik, penyumbang, individu serta pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program ini.
Perpustakaan bukan sekadar tempat membaca, tetapi ruang untuk belajar, meneroka pengalaman dan mencipta kenangan.