PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM PAHANG

PEMENTASAN TEATER RAJA AHMAD BUJANG DAN MERBUK HIJAU: KARYA TERBITAN PPAP TERUS MENDAPAT SOKONGAN

SEREMBAN, 6 November 2026 –Pementasan teater Raja Ahmad Bujang dan Merbuk Hijau yang berlangsung di Auditorium Utama, Kompleks JKKN Negeri Sembilan telah menyaksikan sebuah naskhah sastera berjaya diangkat ke pentas dan dipersembahkan kepada khalayak.Lebih bermakna, pementasan ini turut dihadiri oleh Puan Maria binti Hamzah, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) dan Puan Nurul Julia Alani Henry, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, yang bersama-sama memberikan sokongan terhadap naskhah terbitan PPAP ini.

Lebih istimewa, pementasan kali ini turut menghimpunkan barisan artis legenda dan pelakon veteran tanah air antaranya Dato’ Mustapha Kamal, Mubarak Majid, A.R. Badul, Rashidah Jaafar serta ramai lagi nama besar dalam dunia seni tanah air.Turut mencuri perhatian ialah penampilan istimewa Dato’ Jalaluddin Hassan, yang baru sahaja dinobatkan sebagai Juara Kilauan Emas Selebriti 2026. Kehadiran beliau pastinya menambahkan lagi keistimewaan pementasan ini.Untuk rekod, naskhah Raja Ahmad Bujang dan Merbuk Hijau merupakan salah sebuah skrip yang terkandung dalam buku terbitan PPAP berjudul Antologi Skrip Drama Pentas: Bukan Cinta Biasa, hasil karya penulis skrip, Puan Milyana Arshad.Bagi PPAP, kejayaan naskhah ini diangkat ke pentas teater merupakan satu perkembangan yang amat membanggakan. Ia membuktikan bahawa penerbitan buku bukan sekadar menghasilkan bahan bacaan, tetapi turut membuka ruang kepada karya sastera untuk terus berkembang, dihidupkan dan dinikmati melalui seni persembahan.

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada Teater Hidayah, pengarah, penulis skrip, barisan pelakon serta seluruh warga produksi atas kejayaan menjayakan pementasan ini.Semoga kerjasama dan sokongan seumpama ini terus menyemarakkan dunia sastera dan seni persembahan tanah air. Mudah-mudahan lebih banyak karya terbitan PPAP dapat diangkat ke pentas dan diketengahkan kepada masyarakat.Daripada buku ke pentas, daripada karya kepada sebuah kehidupan!

PPAPt1
PPAPt2
PPAPt3
PPAPt4