PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM PAHANG

MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN PERPUSTAKAAN SE-MALAYSIA KE-26

KUANTAN, 9 OKTOBER 2026 – Majlis Perasmian Konvensyen Perpustakaan Se-Malaysia Ke-26 Tahun 2026 telah berlangsung di The Zenith Hotel, Kuantan, Pahang, dengan menghimpunkan warga perpustakaan dari seluruh negara bagi memperkukuh hubungan profesional, perkongsian ilmu serta kerjasama dalam pembangunan perkhidmatan perpustakaan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, yang hadir mewakili rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Konvensyen pada kali ini menyaksikan penyertaan sebanyak 17 kontinjen yang terdiri daripada perpustakaan awam negeri seluruh Malaysia dan perpustakaan pihak berkuasa tempatan (PBT). Penyertaan ini mencerminkan komitmen serta semangat kebersamaan warga perpustakaan dalam memperkukuh jaringan kerjasama, berkongsi pengalaman dan amalan terbaik, sekali gus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan perpustakaan kepada masyarakat.

Perpustakaan pada masa kini bukan sekadar berperanan sebagai tempat menyimpan dan meminjam bahan bacaan, malah menjadi pusat ilmu, pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan kemahiran serta perkongsian idea. Seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan keperluan masyarakat, perpustakaan perlu terus meneroka pendekatan baharu dengan memanfaatkan teknologi digital, automasi dan kecerdasan buatan bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan kekal relevan, inklusif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Kerajaan Negeri Pahang turut menunjukkan komitmen terhadap pembangunan perkhidmatan perpustakaan awam menerusi peruntukan belanja mengurus sebanyak RM10.28 juta setahun. Sehingga Ogos 2026, Perpustakaan Awam Pahang telah merekodkan sebanyak 1.64 juta kunjungan secara fizikal dan maya, selain melaksanakan pelbagai aktiviti pendidikan, kemasyarakatan dan kekeluargaan untuk manfaat masyarakat.

Penganjuran Konvensyen Perpustakaan Se-Malaysia Ke-26 ini menjadi platform penting bagi warga perpustakaan untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan meneroka inovasi dalam memperkasakan peranan perpustakaan sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat. Konvensyen ini turut menyediakan ruang untuk mengeratkan silaturahim, memperkukuh hubungan profesional serta membina kesepakatan dalam menghadapi cabaran dunia kepustakawanan yang semakin dinamik.

Diharapkan penganjuran konvensyen ini dapat menyuntik inspirasi dan semangat baharu kepada seluruh warga perpustakaan untuk terus berinovasi, meningkatkan kompetensi serta memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan demi memenuhi keperluan masyarakat. Kerjasama erat antara perpustakaan awam negeri dan perpustakaan pihak berkuasa tempatan diyakini mampu memperluas akses kepada ilmu pengetahuan serta menjadikan perpustakaan sebagai pemangkin pembangunan masyarakat yang berilmu, berdaya saing dan sejahtera.

Klik di sini untuk lebih gambar.

2026kpsm26a