KUANTAN, 10 Oktober 2026 – Seminar Perpustakaan di Hati Masyarakat menjadi antara pengisian program sempena Konvensyen Perpustakaan Se-Malaysia Ke-26 yang menghimpunkan warga perpustakaan dan tokoh industri perpustakaan bagi membincangkan peranan perpustakaan dalam memperkukuh budaya ilmu serta mendekati masyarakat.
Seminar ini menampilkan pelbagai pengisian menarik, antaranya sesi Bicara Town Hall bertajuk “Secangkir Kopi Bersama Kementerian Perpaduan Negara” yang disampaikan oleh YBrs. Encik Mohamad Sobri bin Mat Daud, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara selaku wakil rasmi Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara.
Program diteruskan dengan slot motivasi menerusi sesi Sembang Ngeteh bertajuk “Belaian Jiwa Si Penjaga Ilmu” yang disampaikan oleh YBhg. Datin Paduka Mastura binti Haji Muhamad, D.S.I.S., Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.
Selain itu, mini forum bertajuk “Gedung Ilmu, Rodong Masyarakat” turut diadakan dengan menampilkan barisan panel berpengalaman, iaitu YBrs. Encik Mohamed Aizammuddy bin Mohamed Idris, Timbalan Pengerusi Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia; YBrs. Encik Edy Irwan bin Zulkafli, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia; serta YH. Dato’ Mohd Hafizi bin Ibrahim, DIMP, SMP, AAP, AMP, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Pahang. Sesi ini dikendalikan oleh Tuan Haji Saruchi bin Sawal, Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka.
Penganjuran seminar ini diharapkan dapat menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan idea dalam memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu, maklumat dan komuniti. Usaha ini juga selaras dengan aspirasi menjadikan perpustakaan lebih dekat di hati masyarakat serta terus relevan dalam memenuhi keperluan pembelajaran sepanjang hayat.
Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang komited untuk terus menyokong usaha memperkasa budaya membaca dan menjadikan perpustakaan sebagai pemangkin pembangunan masyarakat berilmu.