PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM PAHANG

KARNIVAL BUKU TEMERLOH 2026 MERIAH, PELBAGAI PENGISIAN ILMU DAN AKTIVITI BERJAYA MENARIK PENYERTAAN MASYARAKAT

TEMERLOH, 1 November 2026 – Karnival Buku Temerloh 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 29 Oktober hingga 1 November 2026 di Dewan Tun Razak, Temerloh telah berjaya menghimpunkan masyarakat menerusi pelbagai pengisian menarik berteraskan ilmu, pembacaan, pendidikan dan aktiviti komuniti.Penganjuran oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) ini telah menyediakan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk mendekati dunia pembacaan, malah turut mengetengahkan kreativiti, bakat dan potensi masyarakat khususnya golongan kanak-kanak serta remaja.Majlis Perasmian Karnival Buku Temerloh 2026 telah disempurnakan oleh Yang Hormat Dato’ Ridzuan Hazimin bin Ramli, Penyelaras Dewan Negeri Lanchang, yang hadir sebagai Wakil Rasmi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang.Sepanjang empat hari penganjuran, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan antaranya sesi Bicara Buku, Bicara Berirama Sekolah Rendah dan Menengah, pertandingan mewarna, pertandingan catur, pertandingan masakan kuih tradisional serta pertandingan Fashion Show Bahan Kitar Semula.Turut memeriahkan karnival ialah persembahan Petrosains, slot Tourism, slot bersama kartunis, Bicara TVET, perkongsian inspirasi bersama Roslan Madun serta pelbagai persembahan kebudayaan.Selain itu, penganjuran Fun Run pada 1 November 2026 turut menambah kemeriahan program dengan menggalakkan gaya hidup aktif dan penglibatan komuniti dalam aktiviti riadah.

Pelbagai pertandingan dan aktiviti yang dianjurkan telah memberi ruang kepada peserta untuk mengetengahkan bakat, meningkatkan keyakinan diri serta mencungkil kreativiti melalui pendekatan pembelajaran yang lebih santai dan menyeronokkan.Karnival Buku Temerloh 2026 telah melabuhkan tirainya menerusi Majlis Apresiasi dan Penyampaian Hadiah yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Hajah Sabariah binti Saidan, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang.Majlis tersebut turut menjadi penghargaan kepada para peserta, pemenang pertandingan serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama sepanjang berlangsungnya karnival.

Secara keseluruhannya, penganjuran Karnival Buku Temerloh 2026 mencerminkan komitmen PPAP dalam memperkukuh budaya membaca, memperluas akses kepada ilmu pengetahuan serta menjadikan perpustakaan sebagai pusat aktiviti pembelajaran dan pembangunan komuniti.Syabas dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, rakan strategik, peserta, sukarelawan serta pengunjung yang telah bersama-sama menjayakan Karnival Buku Temerloh 2026. Semoga usaha membudayakan ilmu dan amalan membaca terus subur dalam kalangan masyarakat.

PPAPkbt7
PPAPkbt5
PPAPkbt6
PPAPkbt4
PPAPkbt3
PPAPkbt1
PPAPkbt2